Dakwaan bahawa adanya ugutan bunuh terhadap saksi Pendakwaraya, L/Kpl Rohaniza Roslan, 29 perlu disiasat oleh pihak Polis segera. Kenyataan beliau yang dimuatkan dalam akhbar The Star hari ini telah menimbulkan satu lagi tanda tanya terhadap kes ini. Dalam keterangan beliau di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam, beliau mengakui bahawa beliau telah menerima satu ugutan bunuh pada 11 Jun 2007 sekiranya tampil memberikan keterangan di Mahkamah. Pada pukul 4 petang semalam, Asistant Supritendan Tonny Lunggan pula telah mengemukakan satu laporan terhadap L/Kpl Rohaniza Roslan yang dikatakan telah mengemukakan laporan palsu di Mahkamah. Keterangan beliau didakwa tidak sama seperti dengan Kenyataan Polis yang dibuat sebelum ini. Keadaan ini menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak tentang keadaan saksi berkenaan. Siapakah yang mengugut beliau dan kenapakah Kenyataan beliau dalam mahkamah berbeza dengan Kenyataan yang dibuat ketika disoal siasat? Percanggahan dan fakta ugutan ini menimbulkan kebimbangan kepada kredibiliti perbicaraan ini kerana masih terdapat banyak perkara yang belum dibongkar oleh para saksi. Minggu lepas, pihak Mahkamah enggan membenarkan sepupu Altantunya, Amy untuk mengulas lanjut tentang gambar yang ada memaparkan wajah Najib. Peguam pemerhati dari keluarga mangsa, juga tidak diizinkan untuk membuat pertanyaan berhubung dengan gambar itu. Terlalu banyak isu yang masih disimpan dan nampaknya para saksi begitu tertekan untuk memberikan keterangan. Mereka juga tidak bebas untuk menceritakan segala apa yang mereka ketahui. Hanya perkara yang ingin didengar oleh Pendakwaraya sahaja yang dibenarkan. Kita tidak berniat untuk menghina Mahkamah. Tetapi setiap wakil perundangan negara yang terlibat dalam kes ini harus sedar bahawa ini adalah kes antarabangsa. Media antarabangsa sentiasa hadir membuat laporan. Daripada cara dan gaya Mahkamah ini bersidang pelbagai kritikan telah dilontarkan. Ketelusannya masih lagi diragui. Kita berharap agar adanya perubahan yang ketara dalam sesi soal balas antara peguambela, pendakawaraya dan saksi. Semua orang berharap agar kes ini dapat diselesaikan tanpa menyimpan sebarang misteri disebalik neraca sistem perundangan negara. Kita tidak mahu mahkamah bersidang tetapi dalam masa yang sama media luar negara terus mempersendakan sistem perundangan negara. Siasatan harus dibuat terhadap kenyataan atau bukti-bukti baru. pihak polis juga harus bersikap profesional dan bersedia bagi menambahkan lagi bukti-bukti baru jika releven dengan kes ini. Mereka juga harus tegas dan tidak mengunakan kuasa bagi melindungi kepentingan orang-orang tertentu. Amy dan Rohaniza harus dibenarkan memberikan keterangan secara adil dan pihak peguam harus diberikan hak perundangan bagi mempersoalkan kenyataan mereka di Mahkamah. Diskriminasi perundangan negara serta birokrasi dalam mengemukakan bukti harus dinilai kerana setiap perkara yang ada kaitan dengan kes ini amat penting untuk dikemukakan. - Herman Samsudeen Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan http://dppwp.wordpress.com" title="http://dppwp.wordpress.com" target="_blank"http://dppwp.wordpress.com Blog Herman Samsudeen: http://syukran.wordpress.com" title="http://syukran.wordpress.com" target="_blank"http://syukran.wordpress.com
|