Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memandang serius intipati program Seminar Legasi Tun Razak Kepada Pembangunan Negara pada 15-16 Jun 2007 yang lalu di mana para pemimpin Umno cuba menggunakan seminar ini untuk menonjolkan kehebatan kepemimpinan Tun Razak melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). PAS tidak menolak peranan Tun Razak yang begitu besar dalam mengangkat semula martabat orang Melayu selepas tragedi 13 Mei 1969. Bahkan, PAS menganggap Tun Razak adalah tokoh yang berwawasan dalam membangunkan bangsa Melayu. Malangnya, kecemerlangan Tun Razak cuba dipropagandakan oleh pemimpin Umno pada hari ini melalui Seminar Legasi Tun Razak untuk menutup kelemahan, penyelewengan dan kegagalan Kerajaan BN mencapai objektif DEB. Pendedahan dan maklumat baru tentang usaha-usaha dan strategi Tun Razak untuk membangunkan Malaysia melalui seminar ini memang bermanfaat kepada pengkaji dan ahli akademik, tetapi tidak mempunyai apa-apa makna kepada rakyat. Selepas melancarkan DEB, Tun Razak telah kembali ke rahmatullah pada 1975 tanpa dapat melihat kejayaan atau kegagalan dasar ini yang disasarkan pada 1990. 20 tahun selepas DEB dilancarkan, ternyata sasaran untuk membentuk 30 peratus ekuiti Melayu tidak dapat dicapai, bahkan sebahagian besar daripada ekuiti yang dikatakan ‘milik’ orang Melayu itu adalah dipunyai oleh agensi kerajaan seperti MARA, UDA dan lain-lain. Bahkan, orang Melayu yang telah kehilangan sebahagian besar hak-hak mereka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan kerana pengkhianatan pemimpin Umno/BN. Lihat sahaja nasib tanah rezab Melayu, biasiswa, kuota universiti, bahasa Melayu dan juga kedudukan agama Islam yang semakin terancam yang boleh dianggap counter productive kepada DEB yang ingin mengimbangi pembangunan kaum di negara ini. Pada zaman Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri, nasib orang Melayu lebih banyak dikorbankan. Kehilangan hak orang Melayu kerana dikaut oleh kerakusan anak menantu beliau dalam amalan kronisme telah menyebabkan sebahagian besar kepentingan negara, bukan sekadar kepentingan bangsa hampir tergadai. Abdullah Badawi selain mengekalkan dasar-dasar yang tidak memihak kepada Melayu yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir Mohamed, telah memperkenalkan beberapa dasar yang aneh seperti mentiadakan ekuiti Melayu dalam pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) sehingga wilayah itu boleh dikuasai sepenuhnya oleh pelabur asing. Sebelum ini, beberapa syarikat berkepentingan nasional seperti Pantai Medical Center dijual kepada pelabur Singapura. Kerajaan Umno/BN juga telah mengarahkan supaya Maybank menarik balik syarat ekuiti 50 peratus Bumiputera syarikat guaman yang menjadi panel bank tersebut selepas didesak oleh orang Cina, sedangkan dasar Maybank itu mengimplimentasikan DEB. Dasar-dasar yang membunuh kepentingan orang Melayu ini, bukan sekadar gagal mencapai sasaran 30 peratus ekuiti yang ditetapkan oleh DEB, tetapi turut mencabuli hak-hak orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Institusi pendidikan Melayu seperti sekolah agama rakyat (SAR) telah dilumpuhkan oleh dasar pro Amerika Umno kerana kononnya menyekat keganasan. Bahasa Melayu yang merupakan bahasa ketiga terbesar di dunia bukan sahaja tidak lagi dijadikan bahasa ilmu, bahkan dicadangkan untuk ditukar namanya kepada Bahasa Malaysia atas nama perpaduan. Orang-orang Melayu yang bangkit pada zaman Tun Razak menerusi dasar menghantar pelajar untuk mendalami bidang sains dan teknologi di Barat melalui biasiswa kerajaan, hari ini dinafikan hak mereka. Bahkan, pelajar universiti tempatan pun terpaksa membuat pinjaman dengan faedah untuk melanjutkan pelajaran. Ketika kuota pelajar Melayu di universiti cuba dimeritokrasikan, beberapa institusi pendidikan Melayu seperti MRSM dan UiTM telah dibuka kepada bangsa bukan Melayu. Begitu juga nasib tanah rezab Melayu di seluruh negara yang semakin berkurangan, diambil dan tidak diganti. Di bandar-bandar seperti Georgetown dan Kuala Lumpur, tanah rizab Melayu dicerobohi tanpa had. Di Pulau Pinang, nasib orang Melayu seperti telur di hujung tanduk! Kegagalan para pemimpin Umno mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu sudah tidak menjadi rahsia lagi. Bahkan pelbagai penyelewengan, salah guna kuasa dan amalan KNN yang merugikan bangsa Melayu telah menjadi beban “pikul biawak hidup” kepada Umno hari ini. Bagi menutup kelemahan dan penyelewengan ini, Umno sengaja mengadakan seminar-seminar seperti ini untuk mengangkat peranan tokoh-tokoh seperti Tun Razak dalam membangunkan bangsa Melayu. Orang Melayu diharapkan alpa dengan kehebatan gagasan Tun Razak ini, dan melupakan bahawa pewaris Tun Razak dalam Umno telah memusnahkan segala kepentingan orang Melayu. HAJI MAHFUZ HAJI OMAR Ketua Penerangan PAS Pusat Kiriman: akhitantawi@yahoo.com
|