Kata orang, amat senang untuk mengusik orang yang suka melatah. Anda cuma perlu cuit sedikit sahaja, tentunya pelatah akan melatah dan seterusnya setiap titip tutur kata akan mula menjadi kelam kabut. Perkataan yang tidak sepatutnya pun akan terhambur tanpa kawalan. Begitu juga dengan mana-mana situasi yang lain. Mudah dan makin memudahkan. Kenapa saya berkata begini. Pertamanya, semenjak beberapa bulan ini saya ada mendedahkan beberapa kepincangan dalam pengurusan keselamatan dan korporat yang boleh mengancam kedaulatan dan kepentingan negara. Sebagai contoh, saya ada mendedahkan kekurangan pemantauan secara berkala oleh unit risikan terhadap pencerobohan ruang udara oleh negara asing di Selatan Johor. Ianya banyak kali dilakukan oleh unit UAV dan angkatan udara negara tersebut pada waktu awal pagi dan senja. Kini dengan terbinanya (telah diuji dengan berkesannya) TUAV (Tactical Unmanned Aerial Vehical) oleh syarikat tempatan maka bolehlah kita memanfaatkannya untuk mengekang pergerakan risikan negara asing tersebut. Sekalung tahniah kepada semua pihak yang terlibat. Namun usaha mengekang aktiviti risikan ini mungkin akan tergagal dengan terbinanya WPI (Wilayah Pembangunan Iskandar) atau lebih dikenali sebagai SJER. Malah kerjasama yang mungkin dijalinkan oleh pihak Malaysia akan menyebabkan penguasaan pentadbiran dan ekonomi dikuasai oleh Singapura (BACA SINI). Pastinya Singapura akan menuntut hak dan kelebihan pada tahap yang tidak dijangkakan daripada Kerajaan Malaysia dalam urusan WPI. Tanda-tandanya makin jelas kini. Jangan pula anda terkejut, jika selepas Singapura menguasai segala-galanya di WPI, pergerakan sayap pelaburan Singapura iaitu Temasek Group pula akan menguasai beberapa GLC dan syarikat utama negara seperti yang pernah saya utarakan dahulu. Tanda-tandanya makin jelas kini. Bursa Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti (SC) kini amat mudah untuk membenarkan mana-mana syarikat tersenarai dan milik awam dinyahsenaraikan dan dipindah milikkan kepada individu tertentu. Ini termasuklah kepada kes yang sedang dalam proses penyahsenaraian iaitu Maxis Corporation Berhad oleh Tan Sri Ananda Krishnan. Beberapa individu lain pula telah memilik peribadikan beberapa syarikat utama dan kemudiannya menyerahkannya kepada satu proksi di Singapura untuk ditadbirkan. Proksi ini pula sebenarnya adalah proksi bayangan kepada sayap pelaburan Temasek Group. Ianya kini makin disahkan oleh kenyataan Ketua Eksekutif CIMB Berhad yang menyatakan bahawa pergerakan penyahsenaraian syarikat awam dan pemindahan pemilikan kepada peribadi adalah satu yang wajar dan bertepatan. Pada saya inilah yang paling merbahaya kepada keselamatan sistem korporat di Malaysia. Jangan terkejut jika selepas ini anda akan dapati bahawa Synergy Drive pula akan dinyahsenaraikan dan kemudiannya dimilik-peribadikan dan seterusnya terjual kepada entiti asing. Semua perancangan ini memang telah lama diusahakan. Cuma kini masanya hampir tiba. Apakah yang akan berlaku kepada negara ini? Jika anda masih patriotik, sila bantah semua pergerakan korporat ini. Janganlah hanya memikirkan keuntungan segera sahaja lalu membelakangi kedaulautan dan keselamatan negara. Jangan biarkan negara ini dijajah dan ditadbir oleh boneka-boneka. Jangan fikirkan tentang diri anda sendiri sahaja, fikirkan juga akan anak cucu cicit anda yang lain. Fikirkan tentang masa depan negara ini. Itupun jika anda masih lagi patriotik. Namun jika anda rasakan tidak kisah akan perkara ini, saya nasihatkan anda tukarkanlah kewargenegaraan anda. Amat malu sekiranya anda masih berbanga menjadi warga Malaysia namun pada masa yang sama andalah yang menggadai maruah bangsa dan negara Ketua Perusuh Bekas Fellow Kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) (http://ketuaperusuh.wordpress.com/" title="http://ketuaperusuh.wordpress.com/" target="_blank"http://ketuaperusuh.wordpress...)
|