Oleh : Hishamuddin Rais

Saya cukup marah apabila mendengar desas desus melalui sistem pesanan
ringkas bahawa bakal perdana menteri saya telah dikaitkan dengan….
sapa namanya… daging seketul? Nak sebut pun susah. Apa punya tuuur!

Saya juga naik angin bila melihat akhbar petang Guang Ming Daily membuat
laporan penuh di muka hadapan akhbar ini tentang cerita bakal perdana
menteri yang baru disebut di mahkamah. Tidak cukup dengan laporan berita ada
pula gambar si Minah itu bergaya di Paris. Dari mana gambar ini dikaut oleh
Guang Ming wallah hualam bisawab.

Saya dengar petang itu Guang Ming jual laris – entah-entah ada ulang
cetak. Saya hanya dapat beli naskhah terakhir di Jalan Petaling. Ramai
member yang gigit jari terutama nak melihat gambar Minah ni berlagak di kota
Paris. Belek punya belek gambar Minah ini ok juga, boleh stim. Boleh buat
teman pa chu ching. Tetapi, itu cerita lain. Yang saya nak tulis ini ialah
perangai akhbar Cina yang tidak tahu hendak menyorokkan berita. Nasib baik
orang Melayu tidak pandai Mandarin, kalau tidak malu besar bakal PM saya
ini.

Perangai akhbar Inggeris pun sama. Macam ada agenda tersorok lagi terpendam
dengan niat busuk lagi masam untuk memburuk-burukkan bakal PM saya ini.
Kerana itu kita rakyat Malaysia patut tabik hormat dengan Utusan Malaysia.
Inilah satu-satunya akhbar yang TIDAK membuat berita laporan mahkamah
tentang bakal PM saya yang telah dilihat makan bersama…. sapa
namanya.. di Paris. Inilah contoh akhbar yang menyahut seruan glokal –
goreng dan dangkal.

Kita juga patut tabik hormat kepada semua stesen TV tempatan. Stesen-stesen
ini cukup bertanggungjawab kerana tidak menunjukkan kemaluan negara kita ke
muka dunia. Stesen TV luar negara sedikit habuk pun tidak boleh dipakai.
CNN, BBC ini semua stesen orientalis – yang anti Islam, anti
bumiputera, anti Melayu dan tidak menggunakan Bahasa Malaysia. Contohnya,
Stesen Star TV entah betul entah tidak, stesen ini telah membuat laporan
mengaitkan nama bakal PM saya dengan sapa namanya? Gambar bakal PM saya juga
ada ditayangkan. Apa punya tuuur stesen ini.

Laman-laman web? Ini semua laman fitnah dan tohmah. Tulisan-tulisan dari
laman web tidak boleh dipercayai langsung. Laporan nombor ekor dan keputusan
gol bola sepak pun tidak boleh dipercayai kalau diambil dari laman web.
Semuanya bohong. Laman-laman web ini banyak yang dikendalikan oleh Mak-mak
Janda yang tidak ada kerja. Itu sebab kita jangan membaca laman web.

Laman-laman web ini bukan sahaja melaporkan tentang bakal PM saya yang makan
malam dengan…. sapa namanya… tetapi mereka goreng dan kaitkan
pula dengan kapal selam. Saya tidak faham bagaimana satu ‘private
dinner’ boleh ada sangkut paut dengan kapal selam. Selalunya lepas
dinner orang tidak pergi naik kapal selam. Lepas dinner biasanya orang akan
berehat menghenjut tilam.

Laman-laman web ini semakin naik tocang apabila mereka mendengar sidang
akhbar Pak Syeikh yang bukan sahaja menyebut… sapa namanya …
tetapi Pak Syeikh juga ada menyebut Scorpene. Ini bukan nama rock band
tetapi satu jenis kapal selam yang telah di beli oleh kerajaan Malaysia dari
Perancis. Jual beli ini telah dijalankan oleh syarikat Perimekar Sdn. Berhad
yang telah mendapat komisen sebanyak RM 530 juta.

Laman-laman web menuduh bahawa duit komisen inilah yang menjadi rebutan
sehingga …. sapa namanya… menjadi daging seketul. Macam mana putar alam
duit komisen ini tersangkut dengan nama bakal PM saya ini cukup
menghairankan. Saya hanya dapat berkata : wallah wallaam bisawab hanya laman
web sahaja yang maha mengetahui.

Saya sebenarnya amat tidak puas hati dengan saksi yang bernama Burmaa
Oyunchimeg. Hendak sebut nama pun bukan main susah. Apa punya ayah yang
memberi nama yang susah hendak disebut. Sudahlah susah, nama ini panjang
pula. Bayangkan kalau kerajaan Melaka memberi dia darjah kebesaran Datuk
Seri Utama, berapa panjang nama ini nanti. Betapa susah hendak mengisi
butiran nama dalam pasport. Kenapa tidak beri nama seperti Ziana sahaja.
Nama Ziana lebih senang disebut, hanya dengan dua suku kata. Apa punya tuuur
orang Mongol ini.

Saya naik bengang juga apabila melihat gambar si Burmaa ini di akhbar. Saya
naik marah kerana dia cuba berlagak macam Yoko Ono. Apa dia ingat dia pop
star ke? Pakai cermin mata macam Yoko Ono. Yoko Ono insan spesial, dia avant
garde artist. Suaminya John Lenon. Kamu siapa, kamu hanya sepupu
kepada…… sapa namanya? Janganlah cuba hendak menayangkan cermin
mata hitam itu. Itu perangai Abang Zak.

Si Burmaa ini menuduh bakal PM saya pernah berjumpa dengan … sapa
namanya…di Paris. Ini satu tuduhan yang bukan kecik anak. Ini membawa
implikasi besar. Apakah si Burmaa ini tidak melanggan Utusan Malaysia ? Apa
si Burmaa ini tidak membaca bagaimana bakal PM saya telah bersumpah dengan
nama Allah ketika pilihan raya kecil di Ijok dahulu. Bakal PM saya TIDAK
kenal dengan … sapa namanya?

Ini bukan sumpah sumpit lada api – mak kau buncit dibahan Benggali.
Ini sumpah di atas nama Allah. Bukan di atas nama al-Latt atau al-Uzza.
Kenapa si Burmaa ini membuat fitnah? Tidakkah si Minah yang pakai cermin
mata hitam ini sedar bahawa bakal PM saya ini TIDAK pernah berbohong. Bohong
itu bukan nama keluarganya.

Satu perkara yang ingin saya timbulkan di sini ialah tentang hal makan malam
dengan … sapa namanya? Di restoran mana mereka makan. Apakah mereka makan
di Chez Quick atau di Chez Maxim. Ini penting untuk diketahui oleh rakyat
Malaysia. Dalam kota Paris ada beribu tempat makan. Kalau dinner malam itu
hanya di Chez Quick maka malulah kita rakyat Malaysia kerana bakal PM kita
ini cekai.

Kalau di Chez Maxim pasti ada kelas. Tetapi persoalan akan timbul terutama
dari Mufti Perak, beliau akan bertanya apakah restoran ini telah mendapat
kelulusan logo halal dari JAKIM. Atau apakah gelas, cawan dan pinggan
mangkuk itu telah disamak dengan air lumpur. Ini soal akidah. Kerana ini
saya cukup marah terhadap si Burmaa ini. Dia tidak memiliki sensitiviti
kemelayuan dan kebumiputeraan. Si Burmaa ini hanya main tuduh dan fitnah
semberono. Kenyataan di mahkamah ini membawa implikasi yang boleh menggugat
akidah umat.

Saya cukup lega apabila setiausaha akhbar bakal PM saya mengeluarkan
kenyataan. Kenyataan ini ringkas dan tepat. Bakal PM saya TIDAK kenal dengan
… sapa namanya? Saya memang merasa lega tetapi saya rasa ini tidak
mencukupi. Ini kerana pada satu ketika dahulu Firaun juga pernah berkata
bahawa dia tidak kenal dengan Lorraine Osman – ketua geng songlap duit
BBMF – tetiba Rocket akhbar DAP mengeluarkan gambar Firaun makan
semeja dengan Lorraine Osman. Terberak-berak Firaun, hampir tercampak tupee
isterinya.

Saya telah difahamkan dari desas desus perawi yang tidak sahih gambar makan
semeja ini wujud. Gambar ini hanya menunggu masa hendak di keluarkan. Jadi
untuk menangkis tohmah dan fitnah ini – mengikut ajaran Sun Tzu The
Art of War – lebih baik setiausaha akhbar bakal PM menyerang terlebih
dahulu. Nyatakan bahawa jika gambar ini wujud itu adalah hasil dari
teknologi photoshop. Khalas.

Seharusnya bakal PM saya mengambil tindakan undang-undang dan menyaman si
Burmaa ini. Bukan sahaja si Burmaa yang perlu di bawa ke mahkamah, akhbar
Guang Ming, Pak Syeikh Anwar Ibrahim, laman-laman web Mak Janda dan sesiapa
sahaja yang berani menyebut… sapa namanya.. perlu di saman. Heret mereka
semua ke mahkamah. Jika tidak di saman maka benar dan sahihlah cerita-cerita
dongeng yang mengatakan bahawa duit komisen pembelian kapal selam inilah
yang menjadi punca sapa namanya… menjadi daging seketul.

Berselindung di belakang ‘sub judice’ adalah tindakan lekeh.
Permata apa ke jadahnya makna sub judice ini. Kedua, Mak saudara Mawi dari
Felda Taib Andak tidak faham akan makna perkataan ini. Ini perkataan Latin
bukan bahasa orang Pekan atau Minah Kerinchi. Malah pembaca laman web pun
kelam kabut mencari kamus untuk memahami perkataan ini. Apa punya tuur sub
judice ini.

Saya ada satu lagi cadangan untuk menyelamatkan keadaan agar nama bakal PM
saya akan terus mengglokal. Kita semua tahu bahawa si Burmaa inilah yang
telah menjadi saksi penting di Mahkamah. Dia telah melihat gambar bakal PM
saya sedang duduk semeja dengan .. sapa namanya? Saksi ini berbahaya. Lebih
baik kita lupuskan sahaja dia, seperti kita lupuskan nama… sapa namanya
dari sistem imigresen kita dahulu. Semua ini bisa diatur.

Jika semua ini tidak dilakukan saya hanya sempat menyumpah tanpa menghunus
keris – Ciss! Derhaka kau si Burmaa, berani membuat fitnah terhadap
bakal PM beta… maaf… bakal PM saya ..maaf bakal PM Malaysia. END